Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mercu tanda jalinan perpaduan

Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani | Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Masri Osman, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali, Azmah Haji Ahad, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

MOD_JambatanRIPAHS_1.png

KEBAWAH DYMM berkenan dijunjung bagi merasmikan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Oktober. – Satu lagi sejarah pembangunan infrastruktur terlakar di negara ini iaitu jambatan yang menghubungkan antara Sungai Kebun dan Jalan Residency kini dikenali sebagai Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha setelah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

MOD_JambatanRIPAHS_2.png

KEBAWAH DYMM berkenan menandatangani plak sejurus berkenan merasmikan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Penamaan jambatan yang begitu istimewa itu juga bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dan setentunya sebagai satu memori untuk dikenang sepanjang hayat akan kekukuhan baginda di atas singgahsana kerajaan memerintah negara dalam tempoh lima dekad ini.

Upacara perasmian begitu meriah dengan keindahan cahaya panorama berwarna-warni sebagai mercu tanda penghubung jalinan perpaduan yang begitu signifikan dan sekali gus menggalakkan penjanaan perekonomian di kawasan tersebut.

MOD_JambatanRIPAHS_3.png

PERTUNJUKAN Bunga Api yang berlangsung di kawasan berhadapan Tarindak D'Seni, Jalan Residency, di ibu negara.

Jambatan 'Cable Stayed Bridge' yang pertama dibina di negara ini berukuran 622 meter panjang yang menyeberangi Sungai Brunei dan tersergam indah di satu kawasan strategik iaitu Kampong Ayer yang merupakan sebuah perkampungan air terbesar di Asia Tenggara dan merupakan Tapak Warisan Kebudayaan Brunei.

Peletakan batu asas bagi projek pembinaan jambatan berkenaan disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada 16 Januari 2014 lalu.

Jambatan tersebut direka bentuk berlandaskan calak keBruneian dengan menerapkan ciri-ciri keislaman dan lambang kedaulatan negara seperti bentuk panji-panji dan kubah replika dari Kubah Masjid Omar 'Ali Saifuddien diletakkan di atas struktur pylon setinggi 157 meter.

Ketinggian pylon 157m itu adalah mengambil sukut tarikh keputeraan Kebawah DYMM iaitu 15 Julai.

Projek tersebut dianugerahkan kepada Syarikat Swee Sendirian Berhad, sebuah syarikat tempatan dengan usahasama dari syarikat-syarikat Korea Daelim Industrial Company Limited dan TRC setelah memenuhi kesemua kriteria tawaran yang telah ditetapkan.

Objektif utama projek tersebut adalah untuk menghubungkan Kampung Sungai Kebun dan Jalan Residency di kawasan Bandar Seri Begawan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan Tutong.

Di samping itu, jambatan penghubung itu juga memendekkan waktu perjalanan ke persimpangan Kampung Tarap Bau dengan memakan masa lebih kurang lima minit sementara perjalanan menuju ke Kampung Lumapas memakan masa kira-kira 10 minit sahaja.

Terbinanya jambatan ini akan meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan, mencapai kemajuan yang mampan sekali gus mewujudkan peluang perniagaan terutamanya di kawasan bandar sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments