Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Taklimat mengenai Proses Kawalan Kemajuan

Oleh: Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

IMG_0113.JPG

KETUA Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Dayang Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad bersama pegawai-pegawai kerajaan dan QP hadir di sesi taklimat mengenai Proses Kawalan Kemajuan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 November. – Sebagai usaha berterusan bagi memperbaiki perkhidmatan proses mendapatkan kebenaran-kebenaran kemajuan, memulakan kemajuan dan kesiapan kemajuan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa selaku agensi-agensi yang terlibat di dalam petunjuk Dealing with Construction Permit di dalam Ease of Doing Business telah mengadakan klinik bagi Orang Yang Berkelayakan (Qualified Persons – QPs) yang terdiri dari Akitek-Akitek dan Jurutera-Jurutera Profesional yang berdaftar dengan Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS). Klinik diadakan pada hari Selasa, 28 November 2017 bertempat di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.

Objektif sesi klinik tersebut adalah untuk memberi maklumat-maklumat yang tepat dan terkini kepada QPs supaya perlaksanaan projek-projek kemajuan tanah dan pembinaan bangunan adalah lebih teratur dari segi tatacara proses permohonan dan memastikan projek-projek yang dikendalikan oleh mereka mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa pada masa ini.

 

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB ORANG YANG BERKELAYAKAN (QP)

 IMG_0096.JPG

DAYANG Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad selaku ahli BAPEQS menyampaikan taklimat mengenai tugas dan tanggungjawab QP.

Taklimat telah disampaikan oleh Dayang Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad sebagai Ahli Lembaga Artikek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan mengenai tugas dan tanggungjawab QP dalam menjalankan tugas dengan etika dan tingkah laku professional. Sebarang aduan yang diterima oleh BAPEQS, jika didapati melanggar undang-undang selepas penyiasatan, boleh dikenakan tindakan disiplin ke atas QP berkenaan. Ini termasuk kesalahan yang melibatkan penipuan, ketidakjujuran, perbuatan atau kelakuan yang tidak profesional dan juga kegagalan QP tersebut dalam pengurusan kerja diantara rakan kongsi dan juga klien dan orang ramai. Dengan ini, pihak BAPEQS telah mengeluarkan Kod etika dan Tingkahlaku Profesional (Code of Ethics and Professional Conduct) sebagai garispandu bagi QP.

 

KEBENARAN PERANCANGAN DAN KEBENARAN-KEBENARAN KEMAJUAN

 IMG_0102.JPGIMG_0124.JPG

DAYANG Marsita binti Omar, Pegawai Perancang Bandar dan Desa (GAMBAR ATAS) dan Awangku Fakhruddin bin Pengiran Haji Ismail, Arkitek dari ABCi (GAMBAR BAWAH) menyampaikan taklimat 'Kebenaran Perancangan dan Kebenaran-Kebenaran Kemajuan'.

Taklimat disampaikan oleh Dayang Marsita binti Omar, Pegawai Perancang Bandar dan Desa dan Awangku Fakhruddin bin Pengiran Haji Ismail, Arkitek Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan. Objektif utama taklimat yang disampaikan pada hari berkenaan adalah untuk mengongsikan hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh kedua pihak dalam mengenalpasti perkara-perkara yang memerlukan penelitian di dalam membuat permohonan Kebenaran Perancangan dan Kebenaran Kemajuan mengikut garispandu yang sedia ada.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa juga menekankan kepentingan dalam meningkatkan kualiti permohonan kebenaran perancangan serta menambahbaik proses permohonan sedia ada. Setakat Oktober 2017, sebanyak 535 jumlah permohonan kebenaran perancangan telah diterima, di mana 76% dari jumlah berkenaan adalah bagi cadangan kemajuan di Daerah Brunei dan Muara. 86% dari jumlah permohonan yang diterima adalah untuk mendapatkan kebenaran perancangan bagi cadangan kemajuan perumahan, 10% permohonan bagi perindustrian, 4% bagi perniagaan dan 1% bagi kemajuan lain.

Selain dari taklimat yang diberikan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), sesi klinik ini turut dijayakan oleh wakil-wakil dari Jabatan Ukur, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya.

 

GEOPORTAL

 IMG_0121.JPG

TAKLIMAT Geoportal disampaikan oleh Dayang Hajah Nurhayati binti Haji Muhd Said, Juruukur dari Jabatan Ukur.

Jabatan Ukur memberikan taklimat mengenai dengan perkhidmatan sistem GeoPortal. Taklimat disampaikan oleh Dayang Hajah Nurhayati binti Haji Muhd Said, Juruukur dari Jabatan Ukur. Sebagai langkah di dalam mengoptimakan penggunaan ICT di dalam memudahkan proses permohonan kemajuan, pihak Jabatan telah memperkenalkan sistem Geoportal yang mengandungi maklumat asas pemetaan. Objektif taklimat yang disampaikan pada hari berkenaan adalah bagi memberikan penerangan lanjut mengenai fungsi utama sistem geoportal berkenaan serta jenis-jenis maklumat pemetaan yang dapat di akses oleh pihak awam bagi memudahkan proses permohonan kemajuan.

 

AKTA BOMBA DAN PENYELAMAT 2013 DAN PERINTAH KESELAMATAN KEBAKARAN 2016

 IMG_0127.JPG

TIMBALAN Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Lim Hock Guan menyampaikan taklimat berhubung dengan Akta Bomba dan Penyelamat 2013 dan Perintah Keselamatan Kebakaran 2016.

Taklimat juga disampaikan oleh Awang Lim Hock Guan, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat berhubung dengan Akta Bomba dan Penyelamat 2013 dan Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 khususnya peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat iaitu pengawalan hal ehwal keselamatan kebakaran di dalam bidang pembangunan.

Awang Lim Hock Guan juga menekankan bahawa setiap permohonan yang dihadapkan oleh pihak QP melalui sistem OneBiz (online system) sentiasa akan diberikan satu (01) nombor rujukan (reference number) yang unik untuk memantau status permohonan bagi setiap projek yang dihadapkan. Melalui nombor rujukan ini, pemilik tanah/premis atau pemaju juga akan dapat memantau melalui sistem OneBiz atau membuat sebarang pertanyaan melalui talian Darussalam 123 untuk mendapat perkembangan bagi permohonan mereka setelah menerima pesanan ringkas (SMS).

 

PEMBAYARAN ONLINE

Dalam masa yang sama, setiap pembayaran yang dilaksanakan oleh QPs kepada agensi kerajaan khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat hendaklah melalui sistem OneBiz secara online. Kaunter pembayaran di Jabatan Bomba dan Penyelamat TIDAK AKAN menerima sebarang pembayaran bagi permohonan mengenai dengan hal ehwal keselamatan kebakaran lagi.

Keterangan lanjut dan sebarang pertanyaan mengenai sistem OneBiz boleh diperolehi melalui kaunter di Tingkat Bawah, Bangunan Design and Technology, Simpang 32-37, Taman Teknologi Anggerek Desa, Negara Brunei Darussalam atau melalui talian Darussalam 123.

 

KESIAPAN KEMAJUAN (OP)

Dalam hal ehwal Kesiapan Kemajuan (OP), Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat juga mendapati bahawa jumlah permohonan yang telah diluluskan masih banyak bilangannya yang belum mendapatkan OP sehingga hari ini. Permohonan yang dimaksudkan adalah bagi kerja-kerja ubahsuai dan tambahan (renovation and extension work) bagi perumahan/bangunan yang mana bekalan eletrik dan air telahpun dibekalkan kepada rumah/bangunan asal.

Merujuk Perintah Kawalan Bangunan, 2014 (Building Control Order, 2014 - BCO) dan Fire Safety Order (FSO) 2016, adalah menjadi tanggungjawab QP untuk memastikan perkara ini diambil berat serta memastikan permohonan yang dihadapkan hendaklah mengikut proses yang berkuatkuasa iaitu dari mendapatkan kebenaran kemajuan hinggalah kemajuan tersebut memperolehi kebenaran kesiapan dan mendiami bangunan (OP) bagi memberi jaminan kepada pemilik rumah/bangunan jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, yang mana akan menjejaskan tuntutan insuran mereka.

Oleh yang demikian, jika permohonan bagi perkara ini belum lagi dilaksanakan dengan sempurna iaitu pengeluaran OP tidak diperolehi maka ianya masih di bawah tanggungjawab QP. Kegagalan dalam perkara ini akan menyebabkan TINDAKAN akan diambil terhadap QP yang berkenaan bagi sama-sama menjaga kepentingan semua pihak.

 

 IMG_0138.JPG

WAKIL daripada Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya juga turut memberikan taklimat.

 

 IMG_0107.JPG IMG_0104.JPGIMG_0110.JPG

ANTARA yang hadir semasa taklimat mengenai Proses Kawalan Kemajuan.

 
IMG_0144.JPG

SESI soal jawab dibukakan kepada QP yang hadir.

Attachments