Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

SYARIKAT DIKENAKAN NOTIS MENGOSONGKAN PREMIS

20230128_bahasa-melayu2.jpg 

28 Januari 2023 - Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah menjalankan pemeriksaan bersepadu pertama tahun ini bersama agensi-agensi kawalan bangunan berkaitan.
 
Dalam pemeriksaan tersebut telah mendapati sebuah syarikat perniagaan beroperasi di tiga unit kedai yang diubah suai tanpa mendapatkan Permit Kesiapan Kemajuan iaitu Occupation Permit (OP) terlebih dahulu.
 
Restoran Raziqin telah dikeluarkan Notis Mengosongkan Unit Premis sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 16(1)(a), Perintah Kawalan Bangunan, 2014 iaitu tiada seorang pun boleh menduduki, membenarkan atau menyebabkan untuk diduduki, mana-mana bangunan atau bahagiannya di mana kerja bangunan telah dijalankan melainkan pihak berkuasa telah mengeluarkan permit OP dalam bangunan itu atau bahagian dari bangunan itu.
 
Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi BND20,000, penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
 
Sehubungan itu, para pemilik, pengusaha dan penyewa unit / premis bangunan adalah diingatkan dan dikehendaki untuk mematuhi Perintah Kawalan Bangunan, 2014 (BCO), PeraturanPeraturan Kawalan Bangunan, 2014 (BCR), piawaian dan garis panduan yang berjalan pada ketika ini bagi sebarang kerja-kerja ubah suai dan tambahan unit / premis dengan melantik Orang Yang Berkelayakan (Qualified Person) yang sah berdaftar dan mempunyai Sijil Penjalan Amalan di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS), Kementerian Pembangunan.
 
Seterusnya, kerja-kerja pembinaan tersebut hendaklah dilaksanakan oleh pembina yang mempunyai pendaftaran yang sah di bawah Kementerian Pembangunan serta mempunyai kategori kerja yang bersesuaian.
 
Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Perintah Kawalan Bangunan, 2014 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan, 2014.
 
Di samping itu juga, bagi permohonan iklan / papan iklan / dan papan tanda, pengusaha-pengusaha dan pemilik-pemilik / penyewa-penyewa unit / premis adalah dikehendaki untuk melantik syarikat pengiklanan yang mempunyai pendaftaran yang sah serta mana-mana iklan / papan iklan / papan tanda yang dipaparkan di luar kawasan premis perniagaan hendaklah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum dipaparkan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan (Iklan, Papan Iklan dan Papan Tanda) 2016.
Attachments