Oleh: Rohani Haji Abdul Hamid | Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Azmah Haji Ahad, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali
KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berangkat ke Majlis Penyempurnaan Penganugerahan Lot-lot Tanah dan Kunci di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 November. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Lot-Lot Tanah dan Anak-Anak Kunci Rumah kepada 892 penerima.
Penerima anugerah anak kunci rumah ini adalah pemohon di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara.
Keberangkatan Kebawah DYMM di Pusat Persidangan Antarabangsa dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei Muara, Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Abd. Rahman.
Dari jumlah keseluruhan penerima, 12 penerima lot-lot tanah manakala 880 penerima anak-anak kunci rumah di beberapa buah kawasan RPN dan STKRJ.
Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan itu, Kebawah DYMM berkenan berangkat ke Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Jalan Utama Mentiri, Kampung Sungai Akar, Mukim Berakas B'.
Kemudian baginda berangkat ke salah seorang penerima lot tanah bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan Bahagian II, Dayangku Nur Zirwatul Amal binti Pengiran Haji Mohammad di kawasan RPN Madang, Mukim Berakas 'B'.
Tawaran untuk Skim Pembahagian Lot Tanah ini bermula pada tahun 1985 yang hanya dibukakan untuk pegawai-pegawai kerajaan Bahagian II saja.
Setelah itu, skim itu dilaratkan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan Bahagian III, IV dan V serta orang awam yang berkelayakan yang mana lot tanah ini hendaklah dimajukan dan dibangunkan rumah dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pengundian.
Baginda seterusnya meneruskan lawatan ke rumah Ketua Kampung Kawasan I, RPN Lambak Kanan, Awang Mohammad bin Haji Tahir @ Mohamad bin Awang Tahir.
Kawasan I, RPN Lambak Kanan mempunyai sekitar 5,600 penduduk dengan jumlah rumah sebanyak 648 buah.
Baginda juga berkenan berangkat ke Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49, Kluster 3, Mukim Berakas 'B' di mana sekolah ini mempunyai 69 tenaga pengajar dan 478 murid di peringkat Pra hingga Tahun 5.
Lawatan baginda ke institusi pendidikan ini membuktikan keprihatinan baginda terhadap perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini.
Sebelum mengakhiri lawatan, baginda berkenan berangkat ke beberapa buah rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Panchor (Mengkubau), Mukim Mentiri.
Pada keluasan 121.5 meter persegi, setiap unit rumah kembar dan rumah teres di kawasan RPN Kampung Panchor (Mengkubau) itu mempunyai tiga bilik tidur, bilik mandi dan dapur.
Perumahan di kawasan ini menelan belanja sebanyak BND388 juta, dan dari 4,000 unit tersebut, sebanyak 2,400 buah adalah rumah jenis teres dan selebihnya adalah rumah jenis berkembar yang di bina di atas kawasan kira-kira 309 hektar.
Kawasan tersebut dilengkapi beberapa kemudahan seperti jalan raya, longkang, tangki air, tanam-tanaman, sistem telekomunikasi fiber-optik dan taman rekreasi.
Setakat ini, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan melalui RPN dan STKRJ telah menyediakan lebih 28,000 rumah dan lot tanah di seluruh negara, di mana Daerah Brunei dan Muara antara yang mencatat jumlah terbesar iaitu sebanyak 19,894, diikuti Daerah Belait mencatat sebanyak 6,585 buah seterusnya Daerah Tutong 1,943 buah dan 402 buah di Daerah Temburong.
Sejak Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984 di bawah pimpinan baginda, rakyat dan penduduk di negara ini telah dan terus menikmati pelbagai kemudahan, antaranya penyediaan perumahan.
Ini jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk negara ini dan secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda, khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mampu dimiliki selaras dengan salah satu objektif RPN untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat yang tinggi.
Sumber: Pelita Brunei.